Saturday, 23 June 2012

Lembaran Baru ..





Beberapa hari lepas, aku  mencuri-curi masa untuk berkunjung ke blog ‘my dear mom’. Seorang kawanku memberitahu aku minggu lepas tentang kelahiran blog Ummi. Kebetulan kawan aku itu (A.J namanya)  adalah salah seorang daripada rakan Facebook Ummi! (Hebatkan ummi aku ni? Kawanku kawannya jua .. ) Kata A.J, bekas anak murid ummi ramai yang memuji-muji blog itu. Sejauh mana kebenarannya, aku kurang pasti. Belum baca, belum tahulah, kan? Apa yang aku tahu, Ummi aku tu memang baik dengan anak murid dia. Aku pun tak tahu kenapa anak-anak murid Ummi aku ni pun baik dengan ummi. Setahu aku Ummi memang guru yang tegas! Terutama dalam bab pendidikan, memang tak ada kompromilah.

  Aku tertanya-tanya juga, apalah agaknya yang Ummi aku tulis di blognya. Janganlah dia mengata tentang aku. Itulah yang aku harap-harap.  Bukan apa, aku sedar banyak benda aku buat ada masa memang tak kena di mata ummi. Tak kena juga dengan prinsipnya. Yalah, aku ni pun budak remaja yang kadang-kadang emo tidak tentu pasal. Dalam kepala aku sempat aku meneka, latar blog Ummi mestilah hijau. Atau warna emas. Itu warna kegemarannya. Katanya hijau menyejukkan mata dan satu terapi minda. Warna emas pula lambang prestij. Lambang sesuatu yang berharga.


            Seperti yang kuduga, warna latar blog Ummi ialah hijau. Ada 14 pos yang Ummi dah kirim di blognya itu. Aku akui Ummi aku ni memang suka menulis. Tulisannya dapat menyentuh hati. Dia menulis ayat dengan penuh hati-hati. Oleh kerana dia suka menulis, maka aku juga dilatihnya menulis. Semasa aku umur 5 tahun, sebaik sahaja aku pandai menulis dan membaca, Ummi sudah membekalkan aku buku ‘contengan’. Setiap hari aku kena tulis satu ayat tentang apa yang aku buat pada hari itu. Ala-ala laporan harianlah. ‘Laporan sebaris ayat’, komen Walid.


            Tentang penulisan ini, aku berterima kasih kepada Ummi. Latihan awal membuatkan aku tidak kekok menulis karangan. Sekadar menulis karangan di dalam kelas memang bukan masalah besarlah bagi aku. Syukurlah, Ummi telah memilih untuk melatih aku dulu. Ummi juga galakkan aku menulis cerita. Itulah sebabnya, kalau soalan karangan keluar tentang cerita memang aku tidak berfikir dua kali untuk membuatnya. Karangan aku yang pernah terhasil tentang cerita ialah ‘Aku Sebuah Komputer’, ‘Aku Sebuah Jam’, Aku Sebuah Telefon Bimbit dan ‘Aku Sebuah Basikal Tua’.

Semasa Tahun Lima, aku pernah menulis sebuah cerita kanak-kanak. Ummi telah membuat suntingan. Dia menghantarnya ke Peraduan Penulisan Kanak-kanak anjuran DBP, Kuala Lumpur. Tak sangka pula, cerita itu terpilih untuk dimuatkan ke dalam Antologi Cerpen Kanak-kanak. Antologi ini diterbitkan oleh DBP. Cerita aku itu, taklah hebat sangat. Tajuknya ‘Sinar Keinsafan’. Cerita tentang budak lelaki yang nakal. Di penghujung kisahnya, dia insaf. Antologi cerpen itu pula kalau tak silap judulnya ‘Menggapai DBP terbitkan cerpen aku tu, dalam usia seawal 11 tahun, aku sudah ada pendapatan tahunan, hasil royalti berdasarkan cetakan. Walaupun takk banyak, tapi aku sudah tentulah gembira. Aku dapat simpan duit itu untuk membeli apa yang aku idamkan dalam hidup. Suatu hari nanti! Jadi, di sini aku nak ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Ummi yang menjadikan saya seorang penulis cilik. (Walaupun sekarang sudah tidak aktif lagi menulis .. kecuali karangan yang guru BM bagi dua minggu sekali!)

Membaca blog Ummi memang mengasyikkan. Antara pos yang aku buka dan baca dulu ialah ‘Ameer dan Hipotesis Makcik’. Aku ingat kisah aku buat hipotesis tentang ujikaji Sains. Rupanya, kisah seorang nenek yang memberitahu Ummi tentang teori anak yang susah dan mudah dijaga. Huh! Aku tidak percaya langsung hipotesis nenek tu. Agak-agak berapa ramailah budak kecil yang jadi bahan ‘observation’ dia tu? Karutlah teori tu aku rasa. Insya-Allah, macamana aku senang dijaga masa kecil, macam tu jugalah aku senang dijaga bila besar nanti. Aku yakin, Ummi memang sentiasa mendoakan aku. Dia mendoakan yang bagus-bagus tentang anak sulungnya ini! Walid juga begitu. Ya Allah, dengarkanlah doa kedua ibu bapaku.

Nak tahu tentang hipotesis ‘Mak Jemah’ tu? Hmm .. kalau aku cedok dari blog Ummi aku, nanti ada pula kawan-kawan aku yang tuduh aku plagiat, kan? Jadi, kalau rasa nak tahu .. silalah baca blog Ummi saya: http://naskhah –kasih-izzah.blogspot.com (He he he! Ini masuk kategori promosi juga ke?)

Emmm .. rasanya untuk permulaan, panjang jugalah coretan aku ni. Maaflah ya! Tajuk blog tentang budak Sekolah Berasrama Penuh (SBP) tapi entri pertama ni, entah cerita tentang apa-apa entah. Nantilah, entri kedua nanti, aku janji akan menulis cerita tentang kehidupan aku di SBP. Insya-Allah. Ada banyak kisah yang aku nak tulis. Semua itu untuk pengajaran.

Apa-apa pun, sempena esok lusa yang merupakan ‘birthday’ aku, aku buka lembaran baru dengan menulis di blog. Serius, aku tak harap apa-apa pun. Aku tak harap orang datang ke blog ini. Aku tak harap orang komen. Aku tak harap orang komplen. Aku cuma harap, Ummi akan bergumbira dengan aktiviti baru aku ini. Aku tahu Ummi mahu aku menulis seperti dia. Walaupun aku tidaklah mengerti sangat dunia tulis-menulis ni .. Satu lagi, rasanya aku taklah akan mampu aktif berblog memandangkan di asrama, jarang-jarang ada kesempatan untuk melayari internet. Tapi aku tetap ada cara! Bagaimana? Jangan tanya sebab aku tak nak jawab .. Aku juga harap, apa yang aku tulis akan memberikan manfaat, terutama aku sendiri! Akhir sekali, aku berdoa kepada Allah SWT agar tulisan aku ini akan menggembirakan ibuku. Aku mahu membuat dia gembira. She is number one for me!


       

1 comment: