Friday, 6 July 2012

Bermula Kisah ..

 Disember 201? - aku menerima berita. Berita yang sangat penting. Sekurang-kurangnya penting bagi akulah. Rasanya aku berkongsi 'kepentingan' ini dengan Ummi dan Abie. Seperti selalunya, sebelum orang lain tahu apa yang ditunggu-tunggu, Ummi yang ada rangkaian perhubungan yang amat cemerlang adalah sumber info yang amat cekap. Aku tidak nafikan. Antara aku, Abie dan Ummi, TIDAK SAH kalau Ummi menjadi orang terakhir tahu. Sedangkan sekolah ganti di sekolahku dan tarikh mula ujian atau peperiksaan pun Ummi yang dulu tahu daripada aku sendiri. Inikan pula keputusan masuk ke asrama penuh. Aku ingat dulu, ingatkan nak buat surprise kat Ummi bila aku dapat 5A UPSR, tapi rupanya aku yang dikejutkan oleh Ummi yang menunggu aku di balik pintu! Kadang-kadang kurang 'thrill' juga, bila aku dapat keputusan ujian yang berjaya memecahkan rekod, Ummi juga lebih dulu tahu. Yalah, hampir semua cikgu di sekolah aku tu Ummi aku kenal. Daripada Pakcik Guard sampailah ke GB. Guru Data, Guru SPBT, Guru Kaunseling semua Ummi biasa. Guru Kelas aku? Emmm .. terlebih-lebih kenal lah Ummi. Ada baiknya jugalah. Sesekali apabila ada benda yang aku kurang pasti, Ummi SMS je siapa yang perlu dihubungi. Kemahiran komunikasi Ummi memang aku tabik springlah! Jauh beza dengan aku. Aku lebih pendiam orangnya. Kuah tidak jatuh ke nasi, jatuh ke mangkuk. Itu yang jadi berbeza tu.

Berbalik kepada berita itu tadi. Kami di utara Sarawak ketika itu. Ummi separuh terjerit mengucap syukur. Berkali-kali. Aku yang sememangnya sudah merasa sedikit debar menanti keputusan penting ini mengagak pasti ada berita yang menggembirakan. Selalunya emosi Ummi sukar disembunyikan. Aku meredakan debar. Mata kufokus kepada skrin televisyen. Apa lagi kalau bukan rancangan kartun. (He he!). Ummi tiba-tiba memeluk aku. 'Tahniah, dear!'. Ada senyum di matanya. Jelas. Amat jelas malahan. Aku tahu Ummi gembira apabila aku diterima masuk ke SBP. Semasa awal Tahun 6, Ummi sudah sibuk bertanya sama ada aku mahu atau tidak masuk SBP. Macam dia!

Malam-malam sebelum tidur atau bila 'lepak-lepak' di hujung minggu, aku selalu bertanyakan Ummi atau Abie tentang kehidupan di asrama. Banyaklah info yang aku dapat. Aku buat kesimpulan, kehidupan di asrama budak lelaki mungkin lebih hebat cabarannya berbanding di asrama budak perempuan. Ummi banyak cerita yang bagus sepanjang tinggal di asrama selama 5 tahun. Bab yang kurang menarik, kalau tak silap aku hanya bab tak ada air. Terpaksa jalan kaki berkilometer untuk mandi petang. Dan pagi (rasanyalah). Sejak itu jugalah aku buat survey di internet sekolah mana yang terbaik dalam ranking SBP di Malaysia. Ada beberapa namalah yang aku jumpa. Antaranya MCKK. STAR. SDAR. MTD dan SAS. Aku nak pilih sekolah yang lelaki kesemuanya. Kenapa? Aku malas nak melayan karenah budak perempuan. Terutamanya budak perempuan yang kecoh tak tentu pasal. Kepoh pada benda yang tak perlu diambil tahu pun. Kebetulan itulah antara watak budak perempuan yang banyak dalam kelas aku di sekolah rendah. Bila aku dapat markah tertinggi, suka nak pertikaikan. Bila aku boleh score straight A dalam peperiksaan walaupun tidak ke tuisyen seperti dia orang, pun mereka pujuk secara paksa aku ke tuisyen. Dalam hati aku: ikut suka hati akulah, kan? Tuisyen ke tak ke. Di rumah aku ada personal tutor. Itu sebab aku tak rasa aku perlu extra tuisyen di Pusat Tuisyen.

Aku tanya Ummi tentang sekolah-sekolah yang tersangkut di hati aku. Akhirnya aku tolak ke tepi MCKK dan STAR sebab jauh di Perak. Kalau Ummi atau Abie nak datang melawat, tempatnya agak jauh. SDAR pun aku tak pilih. MTD aku tolak tepi. Alasan: ala-ala tentera. Aku tak minat. (Adik aku yang minat jadi tentera. Ada hati nak jadi juruterbang TUDM! Atau angkasawan yang hafaz Al-Quran) Akhirnya aku pilih sekolah yang 'megah berjasa, membimbing satria harapan bangsa' (ini adalah rangkap awal lagu sekolah aku). Aku cuma nak jadi .... ? Nantilah aku ceritakan.

Lebih cantik lagi, tawaran aku ke SBP adalah di bawah tajaan penuh sebuah institusi penaja pendidikan. Itupun kawan aku yang perempuan, kepoh. Tak puas hati. "Engkau kaya, macamana dapat biasiswa?" "Tak adil!!!". Itulah antara komen minah kepoh itu. Aku jawab senang je: REZEKI! Lagi satu: berkat DOA Ummi dan Abie aku! Korang tak doa dapat biasiswa, itu pasallah tak dapat. Agaknya lah, kan?

Begitulah kisahnya bermula. Aku menjadi budak SBP secara rasmi pada 3 Januari. Finally!

No comments:

Post a Comment