Saturday, 21 July 2012

Kata Hukama'

Petikan kata-kata ini juga aku 'turunkan' daripada catatan aku sepanjang tahun lalu. Dalam beberapa siri pembangunan diri, baik anjuran sekolah ataupun pihak penaja pengajianku. Aku saring yang rasaku adalah antara yang terbaik. Petikan kata-kata para hukama' ini, pada waktu-waktu tertentu telahbukti berjaya memberikan aku motivasi dan inspirasi. Cuma yang belum lagi aku capai hanya inovasi sahaja lagi. Ha ha ha!

  • Berkawan dengan orang yang soleh dan optimis akan  membantu anda meringankan kesusahan serta membuka pintu harapan. Kawan yang selalu putus harapan menjadikan duniamu juga menjadi kelam.
  • Kegembiraan menjadikan jiwa kita sentiasa bersemangat dan membahagiakan hati. So, be happy!
  • Balaslah setiap kebaikan dengan lebih baik.
  • Di antara pintu kebahagiaan terbesar adalah doa kedua ibu bapa. (Moga-moga aku adalah antara mereka yang mendapat kebahagiaan ini!)
  • Bacalah sejarah. Nikmati cerita dan hikmahnya. Bangsa yang tidak pernah belajar daripada sejarah akan ditimpa sejarah musibah yang sama berkali-kali. (Cintailah matapelajaran Sejarah, weii! Serius, aku suka belajar Sejarah)
Wassalam!
Ibnu Mahra,
Kajang

Ahlan wasahlan ya Ramadhan






Ramadhan yang dinanti datang lagi. Ramadhan yang dirindu. Ramadhan yang datang bersama 1001 tawaran hebat. Sudah tentulah jauh lebih hebat daripada 'tawaran' di Pesta Membeli-Belah Malaysia, malahan tidak dapat ditandingi oleh apa-apa tawaran keduniaan sekalipun.

Ramadhan penuh dengan limpahan keampunan, siraman rahmat dan naungan perlindungan daripada azab api neraka. Itulah hikmah yang dihamparkan oleh Ramadhan. Eksklusif bagi mereka yang menginginkan sahaja. Yang ingin dan mengorak langkah. Berbahagialah orang itu.




Subuh tadi selepas sahur ala kadar, aku dan ANJ solat Subuh berjemaah. Sebelum kembali terlelap sekejap, aku mencapai Quran terjemahan hitamku. Sekadar membaca beberapa ayat pada juzuk kedua. Aku teringat musim Ramadhan ketika usiaku 5 hingga 7 tahun, kami bertiga (aku, Ummi dan Abie - adik lelaki aku masih 'baby' masa tu) akan berterawih di Masjid Jami' Negeri. Satu malam, satu juzuk imam tu baca. Aku sampai tertidur-tidur lagi semasa sujud. Badan ada kala aku goyangkan ke kiri ke kanan supaya tidak terlalu lenguh sementara menunggu imam menghabiskan bacaan. Ada juga rakan-rakan seusia aku, berlari-lari anak di dalam masjid. Tawaf secara marathon bersama geng masing-masing. Aku pula bila sudah keletihan hanya akan duduk bersandar di mana-mana tiang yang banyak terpacak di masjid yang indah itu. Sudah tentu tak jauh dari tempat Abie solat. Aku agak takut jika walidku itu hilang daripada pandangan dalam keadaan manusia yang ramai begitu.

Sekarang setelah enam tahun berlalu, aku pun dah tercampak jauh di SBP ini kenangan berterawih bersama seperti itu di tempat yang sama tinggal suatu kesempatan yang jarang-jarang sekali dapat kami lakukan. Apatah lagi di Masjid Jami' Negeri. Semasa di utara Sarawak, kami ke Masjid Daerah sahaja untuk terawih.


Tanpa aku rencanakan, ringan sahaja aku menaip 'Ramadhan' di Google. Akhirnya beberapa fakta aku temui daripada beberapa laman. Antara yang aku tertarik ialah kejadian penting dalam bulan Ramadhan. Aku buat kombinasi beberapa tulisan di laman sesawang. Beginilah rumusannya ..



ANTARA KEJADIAN PENTING DI BULAN RAMADHAN

1) Kemenangan terbesar - Pembukaan Kota Mekah yang tidak menumpahkan setitis darah pun- 10 Ramadhan, 2 Hijrah. Dianggarkan 360 berhala sekitar Kaabah .. H.A.N.C.U.R, lebur!

2) Perang Badar - Jumaat, 17 Ramadhan, 2 Hijrah.

3) Tempat penyembahan berhala Uzza musnah oleh Khalid Al-Walid - 25 Ramadhan, 8 Hijrah.

4) Perang Tabuk sebahagiannya terjadi pada Ramadhan, 9 Hijrah

5) Andalusia ditakluki pada 28 Ramadhan  di bawah percaturan Komander Tariq bin Ziyad ..

Jelasnya, ramadhan mempunyai sejarah yang tersendiri dalam pembinaan tamadun Islam.

Ya Allah! Aku mohon Engkau jadikanlah aku sebahagian daripada sejarah gagah Ramadhan yang mulia. Amin ya Rabbal 'alamiin!





Hebatnya Otak Manusia

Semasa membelek-belek buku catatan sepanjang tahun lalu, aku menemui beberapa catatan yang agak menarik perhatian aku. Dan aku mahu kongsikannya. Di sini. Catatan ini catatan motivasi. Tentang keajaiban otak. Aku ambil intipatinya sahaja. Harap-harap ada manfaat yang boleh diambil.

  • Otak adalah alam semesta seberat satu kilogram. Nah! Betapa hebat potensi otak.

  • Jika seluruh maklumat buku perpustakaan di dunia atau seluruh maklumat jaringan telekomunikasi di dunia dimasukkan ke dalam otak, otak manusia tidak akan penuh.

  • Jika setiap detik, 10 informasi dimasukkan ke dalam otak kita semenjak lahir sehinggalah kita meninggal dunia, otak kita tidak akan penuh. Masya-Allah! Betapa besarnya 'storage' otak manusia, Rugikan kalau tak isi?
Jomlah! Alang-alang dah jadi warga SBP, amatlah wajar kita mengisi otak kita yang sedia hebat ini!

Sebuah Doa

DOA MEMOHON KETAATAN KEPADA TUHAN

Allahumma ahyi  quluubanaa bittawakkuli 'alaika wa bitthoo'ati laka bizzikri 'alaika bilmudaafa'ati laka bittauhiidi laka

"Ya Allah, hidupkanlah hati kami dengan menyerah padamu dalam ketaatan padamu dan zikir mengingatimu serta dengan menuruti dan meng-Esakan-Mu"

Doa ini adalah antara doa yang aku hafaz semasa Minggu Orientasi. Ada 11 doa lain yang kami kena hafaz. Abang-abang Biro Agama yang akan mendengar hafazan kami sebelum Minggu Orientasi berakhir. Syukur, alhamdulillah. Banyak doa yang lekat di kepala ini, berkat 'assignment' semasa Minggu Orientasi di SBP.

^^ selamat beramal dengan DOA ^^

"Apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang aku, jawablah Aku dekat. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa  apabila dia meminta kepada-Ku .." Al-Baqarah: 186

Puisi Tentang Ibu

Puisi ini aku petik daripada sebuah buku lama yang aku jumpa di rumah kawan. Sekejap tadi. Antologi Puisi 25 Penyair: Lagu Kehidupan - DBP. Sudah lama tercari-cari puisi untuk ibu, aku terjumpa yang ini .. Sebagai penghargaan kepada seorang ibu yang dihargai!



Segalanya Padamu Ibunda

(Karya: Kamaruzzaman Abdul Kadir @ Dharmawijaya)

Masa silam yang terpendam
di suram matamu
merantai badai beban waktu
kutahu
   'kau masih berupaya
    meniduri hamparan duka.

Masa kini yang terukir
di senyum ramahmu
mendepani gementar siang gelisah malam
kutahu
   'kau adalah ladang segala kesabaran
    tegak teguh merimbuni pohon ketabahan.

Masa depan yang terpancar
di nyala dadamu
mencair takdir imbauan sangsi
kutahu
   'kau tak rela daun-daun harapan
    gugur luruh menampar genggaman.



1979 (ketika bundaku usianya mencecah angka lima ..)



Learning English Idioms




Aku ni bukannya hebat berbahasa Inggeris walaupun 3 tahun sekolah tadika Inggeris semasa kecil. Sekadar boleh berkomunikasilah kata orang. Tenses aku pun ada masa-masa ditegur juga oleh Guru BI. Jadi aku selalulah cuba-cuba improvise tahap penguasaan English aku. Selain itu, aku nak juga Guru BI rasa usaha gigihnya mengajar aku English berbaloi. Serius, Guru BI aku kat sekolah kira macam bestlah dia approach dia, kecuali bab kerja rumah yang selalu beratnya berkilo-kilo ..

Sepanjang minggu lepas, aku kumpul beberapa idiom baru. Aku kongsikan demi kebaikan. Lagipun sekarang kan kita semua sedang menjayakan dasar MBMMBI. Adik-adik aku kat rumah pula sibuk cerita pasal ": 'Oh! My English" yang bersiaran di saluran mana aku kurang pasti!

Here you are:

1) Nest egg : money savved fir future use

2) Keep my fingers crossed: to hope

3) Down in the dumps : depressed

4) Second to none : the BEST

5) Once bitten, twice shy : an unpleasant experience teaches caution.

Sekian, terima kasih. Mind your English!  He he he ..

Kuiz SUKAN

Beberapa hari, ketika kebosanan melanda. Aku membaca sebuah buku tentang Kuiz Sukan. Kira relevanlah aku baca buku ni sempena aku akan menyertai Pertandingan Catur Putrajaya pada minggu depan. Jadi aku nak kongsi beberapa fakta yang aku kira 'trivia' lah ..

1) Negara mana yang memenangi Piala Dunia Bola Sepak 1998 (tahun kelahiranku)? PERANCIS

2) Di negara manakah Piala Dunia 2002 (tahun adik aku lahir - kami anak-anak Piala Dunia, lahir setiap 4 tahun sekali .. he he he!) KOREA / JEPUN

3) Berapa berat sebiji bola takraw?  180 GRAM

4) Siapakah pendaki termuda yang berjaya mendaki Gunung Kinabalu?  Mohd. Yusrie Yunus, 6 tahun

5) Permainan golf yang mempunyai 18 bahagian diperkenalkan oleh negara mana? NETHERLANDS

Sekadar perkongsian semata-mata ..

14 Julai yang Diingati ..

14 JULAI - tarikh yang aku tidak pernah lupa. Sudah pun aku tandakan di dada kalendar. Tarikh ulangtahun kelahiran Ummiku! Tahun ini jatuhnya pada hari Sabtu. Jadi, Jumaat malamnya aku call Ummi. Mengucapkan 'Happy Birthday!'. Nak tulis di dinding FB Ummi, tapi tak ada akses pula. Nasiblah, kan? namalah duduk di asrama.

Selesai menelefon Ummi, aku menghala ke surau. Solat hajat 2 rakaat. Aku mendoakan Ummiku akan terus kuat menjadi seorang ibu, isteri, anak dan pendidik yang terbaik. Aku tak tahu nak beli hadiah apa untuk Ummi. Rasanya dia dah ada segala-galanya. Selalunya aku akan hadiahkan Ummi benda yang biasa-biasa saja. Pen yang aku agak-agak dia boleh guna untuk buat draf tangan segala cerpen dan karya sastera atau apa-apa yang tertera kata-kata motivasi. Aku mahu ada saham dalam kerja-kerja penulisannya. Aku suka bila Ummi memetik kata-kata motivasi yang aku berikan pada dia. Jujurnya, aku ni kategori yang jarang jugalah bagi hadiah kat Ummi. Bukan aku tak nak bagi tapi aku selalu tak ada idea apa yang nak dibagi. Kadang-kadang ada yang aku rasa sesuai nak bagi kat Ummi, tapi harga punyalah mahal (sudah tentulah duit aku tak cukup, kan?) Tapi, one thing for sure .. tiap-tiap hari aku memang doakan Ummi akulah. Kira hadiah jugalah tu. Hadiah yang tak kelihatan.

Beberapa hari di awal bulan Julai aku sudah mula mencari-cari sajak tentang ibu, tapi sedihnya aku tak jumpa yang cukup bagus. mengharapkan aku, aku manalah pandai bab menulis puisi ni. Aku pernah dengar puisi tentang ibu yang aku suka dulu. Tapi cari punya cari, tak jumpa pula. Puisi tu lebih kurang begini: Nasihat ibu beribu-ribu ..!  Walau bagaimana pun, aku dedikasikan sebuah lagu khas untuk ibuku pada hari Ulangtahun Kelahirannya yang belum lagi mencapai 4 series. Many happy returns, Ummi. Semoga segala bakti dan usaha Ummi dinilai oleh Allah sebagai amalan  jariah. Amin ya Rabbal 'Alamiin.

Minggu Pertama ..

Salamullahi alaikum .. Salam Ramadhan!



Hari ini 2 Ramadhan. Aku berhujung minggu di rumah seorang sahabat. Antara yang akrab dengan aku di sekolah dan asrama. ANJ namanya. Insyaallah Disember ini, dia akan menjadi tetamu di kediaman kami pula. Ummi yang menaja tiket penerbangannya pergi dan balik (Ummi aku sporting, kan? Dia kenal siapa 'bosom friend' anak-anak dia. Dan sudah tentu dia juga mahu soal-siasat dan lihat dengan mata kepala sendiri watak kawan-kawan karib anaknya. Saya kira macam itulah agaknya). Berbuka puasa dan sahur bersama keluarga orang lain sudah tentulah tidak sama secara total dengan iftar dan sahur dengan Ummi, Abie dan adik-adik di rumah. Tapi, ada aku kisah? THINK POSITIVE!! Bak kata Ummi aku cakap: itu adalah sebahagian kecil daripada cabaran tinggal di asrama. Aku akui kebenaran kata-kata Ummi aku itu. Dia dulu pun duduk SBP juga. Di tengah estet Labu. Lebih 20 tahun dahulu. Maknanya, dia dululah yang 'makan nasi kawah'. Jadi, saya sudah menyediakan mental. Berdasarkan kisah-kisah hidup di asrama. Told by my beloved mom!

Sebagaimana yang aku pernah tulis dahulu, adalah sukar untuk aku selalu muncul dengan 'karya-karya' baru. Almaklumkah budak asrama, kan? Tetapi sekerap mungkin, aku tetap mencuba. Hari ini aku mahu menyambung kisah budak SBP ini dengan kehidupan pada minggu pertama di asrama.

Sebenarnya, sebelum 3 Januari aku sudah pun berada di KL. Aku dan rakan-rakan seangkatan telah diberikan mini orientasi oleh pihak penaja. Seronok jugalah dibawa berjalan-jalan keliling kota. Bagi ambilan pertama, dari Bumi Kenyalang hanya aku dan seorang budak Miri, Zack sahaja yang akan bersekolah di sekolah yang sama. Budaknya agak pendiam. Sepatah ditanya, sepatah disahutnya. Asyik menangis sahaja. Rindukan emak, rindukan rumah. Pendek kata 'homesick' betullah dia tu. Dalam sebulan juga, setiap kali dia menelefon emaknya di Miri pasti akan diiringi oleh sedu-sedan. Syukurlah, aku lebih kuat semangat daripada dia. Lagipun, makcik aku rumahnya tak sampai sejam dari asrama. He he he!

Awal pagi 3 Januari, aku menaiki Vios ke Putrajaya. Bersama aku ialah 2 orang pegawai pengiring, Kak Sue dan Abang Mahathir. Seorang lagi sudah tentulah Zack yang agak kuat menangis tu. (Tapi sekarang dia dah tak menangis lagi dah ..!)  Apa lagi kalau bukan untuk mendaftar. Setiba di sana, Ummi dan Achik Anja sudah pun menunggu. Diaorang siap berkenalan dengan senior prefects dan warden yang bertugas. (Alahai, dua beradik itu memang peramah orangnya). Bahkan dah selesai menjamu selera dengan guru-guru di situ. Kami sampai sahaja, pintu kereta dibuka oleh Guru Penyelaras Pelajar Tajaan. Lagak kami macam anak-anak orang terhormatlah masa tu. Ha ha ha! Guru itu memperkenalkan namanya sebagai Cikgu Mohamad Nas. Sekejapan sahaja, urusan pendaftaran selesai. Kami kemudiannya ke asrama dengan kereta Vios yang sama.

Tema bilik aku hijau. Suka hati Ummi! Daripada cadar katil sampailah ke dinding. Semuanya hijau. Ada 12 katil kesemuanya. Pengawas yang menjadi 'jaga' di dorm kami, Abang Aiman. Pelajar Tingkatan 3. Dia amat baik orangnya. Dia banyak tolong akulah masa fasa permulaan kehidupan di asrama. Ummi dan Achik Anja macam biasalah, cepat sahaja mesra dengan Kak Sue, pegawai pengiring kami. Ibu bapa yang turut menghantar anak mereka di bilik yang sama juga cepat berkenalan dengan mereka berdua. Sambil Ummi menolong bantu apa yang perlu, sempat dia tanya-tanyakan khabar ahli kamar aku. Kesemuanya Tingkatan 1. Malahan satu blok tu, semua First Formers yang duduk.

Selesai mengemas ala kadar, kami bergegas ke Dewan Utama. Pengetua dan YDP PIBG memberikan ucapan. Guru-guru Kelas juga diperkenalkan. Ada sesi soal-jawab juga. Ummi salah seorang daripada audien yang bertanya. Pengetua yang juga pernah berkhidmat di Sarawak memberikan respons yang panjang lebar kepada soalan Ummi yang ringkas. Barangkali dia teringat kenangan  tenpat pertana dia bekerja - Sarikei. Yalah .. semasa Ummi aku kata dia datang dari jauh, Sarawak maka secara spontan Pengetua itu mencelah: 'terima kasih, Puan DG .. sudi datang,susah-payah hantar anak. Saya dulu pun pernah mengajar di Sarawak.' Oh ya! Semasa pendaftaran kelas, Ummi dah sempat dapatkan nombor telefon Ustazah Hidayah, guru kelas aku. Hmm! Memang cekap Ummi aku ni dalam bab perhubungan awam. Selesai taklimat, orientasi bermula. Tapi, sebelum aku bergerak ke asrama dan Ummi balik dengan Achik Anja, Ummi sempat jumpa Tuan Pengetua. Siap pesan kat Pengetua yang aku boleh dirotan jika perlu. Terutama kalau bab tentang solat. Pengetua itu tepuk-tepuk bahu aku. 'Nampak anaknya baik.' Itulah rumusan pertama dia. Saya lantas menyalaminya. Penuh sopan dan santun! Tak pasal-pasal aku sudah dikenali oleh Tok Ketua! (Tak pasti, cerita baik atau tidak. Tapi aku yakin, insya-Allah akan patuh kepada peraturan. Harap iman aku akan terus bertahan. Insya-Allah, berkat doa Ummi dan Abie)

Bila urusan di Dewan Utama sudah selesai, Ummi memberikan aku 'tazkirah' ringkas. Tazkirah akhirlah kiranya tu sebelum kami berjumpa lagi pada penghujung Januari (Ummi, Abie dan adik-adik akan turun ke KL sempena TBC). Ummi menghulurkan sebuah sampul. Sebaik aku menyalami dia dan mendakapnya, dia mengejapkan pelukan. Aku dapat rasakan kesedihannya ketika itu. Dalam masa yang sama aku juga dapat membaca riak gembiranya. Gembira kerana aku diberikan 'rezeki' belajar di sekolah yang ternama. Emosi aku pula ketika itu, bercampur-aduk. Sedih sikit, gembira pun ia. Tapi, satu yang pasti aku akan merindui 'ceramah' Ummi!


10 hal yang Ummi selalu ulang-ulang dalam  siri 'khutbah' dan 'tazkirah'nya:

1) Jaga solat 5 waktu. Tak guna jadi muslim, kalau solat banyak ekzos. Lubang di sana-sini.
2) Hati-hati pilih kawan. Kalau dah tahu orang tu smoking, pergi jauh-jauh. Nanti terpengaruh.
3) Baca Quran setiap hari. Walaupun hanya sekadar surah yang pendek. Qul huwallah, contohnya.
4) Kebersihan jaga. Baju basuh bersih-bersih. Penampilan biar kemas. Kalau serabut nanti otak pun serabut juga. Susah ilmu nak masuk nanti.
5) Bangun awal. Tandas ada sepuluh, yang nak guna berpuluh-puluh! Lambat. Nanti kelam-kelibut.
6) Breakfast mesti ambil. Perut lapar, susah nak fokus masa belajar.
7) Masa guru mengajar, fokus. Guru bercakap, murid bercakap. Nanti dinding dan siling pula yang jadi pandai.
8) Buku simpan tempat tinggi. Di tempat yang tak kena langkah. Nanti belajar tak berkat.
9) Buat semua kerja yang cikgu bagi.
10) Take care, my dear anak bujang!

Aku melambai Ummi yang berlalu bersama adiknya. Aku dan Zack berdiri di sudut kanan Dewan Utama masa itu. Menunggu Cikgu Mohd N. Hadiah Ummi kutinjau. Senaskhah Al-Quran terjemahan. Saiz sebesar separuh daripada buku tulis. Dimasukkan dalam sampul putih. Tertera namaku di situ. Bersama sebuah tulisan tangan: "Ummi tidak pernah lupa mendoakan kejayaan AIM. Kejayaan di dua dunia." Aku tidak sempat membelikan apa-apa pun untuk Ummi. Tapi yang pasti, Ummi sentiasa ada di hati anak bujangnya. Ummi yang tegas. Ummi yang pantang tengok benda tak kemas! Ummi yang selalu ada idea bernas. Dan kaya dengan pengertian.

Kami kemudiannya berjalan kaki ke asrama. Bersiap-siap untuk Zohor dan Taklimat Kelas. Di sini kami wajib berjemaah lima waktu di surau yang beberapa langkah sahaja dari blok kami. Aku dengan dua orang rakan sekamar meninjau-ninjau kawasan asrama. Di Tingkat bawah, blok sebelah ialah Bilik Pentadbiran. Di hadapan tempat meletak kereta ada Koperasi. Berjalan dalam tak sampai 100 langkah adalah Dewan Makan. Menu yang ditampal di dinding bersebelahan pintu masuk utama semacam tidak membangkitkan selera makanku yang sememangnya amat pemilih. Selektif sangat-sangat! Aku tak makan benda yang pedas. Aku tak masuk sangat benda-benda yang pelik-pelik. Maksud aku yang aku belum pernah cuba. Variasi sayuran yang aku makan pun sangat terhad. Tapi, untuk tengahari itu dek kerana lapar aku 'bismillah' juga sampai licin.

Satu MINGGU. Kehidupan asrama biasa-biasa saja. Alhamdulillah, kami semua selamat sepanjang sesi orientasi. Abang senior pun nampaknya alright saja. Kalau berselisih bagi salam. Angguk sikit kepala. Tanda hormat. Abang-abang Biro Agama selalu bagi tazkirah. Ada qiamullail dan tadarus Al-Quran. Riadah dan gotong-royong. Pengagihan rumah sukan dan aktiviti kokurikulum. Taklimat tentang penggunaan kemudahan yang ada di sekolah. Pavillion, padang permainan, Pusat Sumber Sekolah, Pusat Akses dan banyak lagi..




Minggu PERTAMA juga, aku diberi mandat memegang dua jawatan; Ketua Kelas dan Ketua Dorm. Alahai! Dalam pada aku baru nak sesuaikan diri dengan keadaan persekitaran, aku kena pula menyesuaikan diri dengan jawatan-jawatan ini. Jadi Ketua ni, memang sibuklah kan. Ke sana ke mari mengurus itu dan ini.Sekejap jadi ceti; kutip macam-macam bayaran. Ada masa jadi 'mat despatch'; hantar bukulah, boranglah .. macam-macamlah. Kawan-kawan pula ada yang begitu, ada yang begini. Ada yang sporting dan supporting, ada juga yang memang hobinya menyusahkan orang. Mula-mula rasa macam terbeban jugalah sikit tapi lama-lama tu kira macam OK jugalah. Cikgu-cikgu ramai yang hafal nama akulah, kiranya. Bila cikgu dah ingat nama tu, selalulah kena jawab soalan dalam kelas. Pendek kata, kena selalu bersiap-sedialah!

Friday, 6 July 2012

Bermula Kisah ..

 Disember 201? - aku menerima berita. Berita yang sangat penting. Sekurang-kurangnya penting bagi akulah. Rasanya aku berkongsi 'kepentingan' ini dengan Ummi dan Abie. Seperti selalunya, sebelum orang lain tahu apa yang ditunggu-tunggu, Ummi yang ada rangkaian perhubungan yang amat cemerlang adalah sumber info yang amat cekap. Aku tidak nafikan. Antara aku, Abie dan Ummi, TIDAK SAH kalau Ummi menjadi orang terakhir tahu. Sedangkan sekolah ganti di sekolahku dan tarikh mula ujian atau peperiksaan pun Ummi yang dulu tahu daripada aku sendiri. Inikan pula keputusan masuk ke asrama penuh. Aku ingat dulu, ingatkan nak buat surprise kat Ummi bila aku dapat 5A UPSR, tapi rupanya aku yang dikejutkan oleh Ummi yang menunggu aku di balik pintu! Kadang-kadang kurang 'thrill' juga, bila aku dapat keputusan ujian yang berjaya memecahkan rekod, Ummi juga lebih dulu tahu. Yalah, hampir semua cikgu di sekolah aku tu Ummi aku kenal. Daripada Pakcik Guard sampailah ke GB. Guru Data, Guru SPBT, Guru Kaunseling semua Ummi biasa. Guru Kelas aku? Emmm .. terlebih-lebih kenal lah Ummi. Ada baiknya jugalah. Sesekali apabila ada benda yang aku kurang pasti, Ummi SMS je siapa yang perlu dihubungi. Kemahiran komunikasi Ummi memang aku tabik springlah! Jauh beza dengan aku. Aku lebih pendiam orangnya. Kuah tidak jatuh ke nasi, jatuh ke mangkuk. Itu yang jadi berbeza tu.

Berbalik kepada berita itu tadi. Kami di utara Sarawak ketika itu. Ummi separuh terjerit mengucap syukur. Berkali-kali. Aku yang sememangnya sudah merasa sedikit debar menanti keputusan penting ini mengagak pasti ada berita yang menggembirakan. Selalunya emosi Ummi sukar disembunyikan. Aku meredakan debar. Mata kufokus kepada skrin televisyen. Apa lagi kalau bukan rancangan kartun. (He he!). Ummi tiba-tiba memeluk aku. 'Tahniah, dear!'. Ada senyum di matanya. Jelas. Amat jelas malahan. Aku tahu Ummi gembira apabila aku diterima masuk ke SBP. Semasa awal Tahun 6, Ummi sudah sibuk bertanya sama ada aku mahu atau tidak masuk SBP. Macam dia!

Malam-malam sebelum tidur atau bila 'lepak-lepak' di hujung minggu, aku selalu bertanyakan Ummi atau Abie tentang kehidupan di asrama. Banyaklah info yang aku dapat. Aku buat kesimpulan, kehidupan di asrama budak lelaki mungkin lebih hebat cabarannya berbanding di asrama budak perempuan. Ummi banyak cerita yang bagus sepanjang tinggal di asrama selama 5 tahun. Bab yang kurang menarik, kalau tak silap aku hanya bab tak ada air. Terpaksa jalan kaki berkilometer untuk mandi petang. Dan pagi (rasanyalah). Sejak itu jugalah aku buat survey di internet sekolah mana yang terbaik dalam ranking SBP di Malaysia. Ada beberapa namalah yang aku jumpa. Antaranya MCKK. STAR. SDAR. MTD dan SAS. Aku nak pilih sekolah yang lelaki kesemuanya. Kenapa? Aku malas nak melayan karenah budak perempuan. Terutamanya budak perempuan yang kecoh tak tentu pasal. Kepoh pada benda yang tak perlu diambil tahu pun. Kebetulan itulah antara watak budak perempuan yang banyak dalam kelas aku di sekolah rendah. Bila aku dapat markah tertinggi, suka nak pertikaikan. Bila aku boleh score straight A dalam peperiksaan walaupun tidak ke tuisyen seperti dia orang, pun mereka pujuk secara paksa aku ke tuisyen. Dalam hati aku: ikut suka hati akulah, kan? Tuisyen ke tak ke. Di rumah aku ada personal tutor. Itu sebab aku tak rasa aku perlu extra tuisyen di Pusat Tuisyen.

Aku tanya Ummi tentang sekolah-sekolah yang tersangkut di hati aku. Akhirnya aku tolak ke tepi MCKK dan STAR sebab jauh di Perak. Kalau Ummi atau Abie nak datang melawat, tempatnya agak jauh. SDAR pun aku tak pilih. MTD aku tolak tepi. Alasan: ala-ala tentera. Aku tak minat. (Adik aku yang minat jadi tentera. Ada hati nak jadi juruterbang TUDM! Atau angkasawan yang hafaz Al-Quran) Akhirnya aku pilih sekolah yang 'megah berjasa, membimbing satria harapan bangsa' (ini adalah rangkap awal lagu sekolah aku). Aku cuma nak jadi .... ? Nantilah aku ceritakan.

Lebih cantik lagi, tawaran aku ke SBP adalah di bawah tajaan penuh sebuah institusi penaja pendidikan. Itupun kawan aku yang perempuan, kepoh. Tak puas hati. "Engkau kaya, macamana dapat biasiswa?" "Tak adil!!!". Itulah antara komen minah kepoh itu. Aku jawab senang je: REZEKI! Lagi satu: berkat DOA Ummi dan Abie aku! Korang tak doa dapat biasiswa, itu pasallah tak dapat. Agaknya lah, kan?

Begitulah kisahnya bermula. Aku menjadi budak SBP secara rasmi pada 3 Januari. Finally!