Saturday, 21 July 2012

Minggu Pertama ..

Salamullahi alaikum .. Salam Ramadhan!



Hari ini 2 Ramadhan. Aku berhujung minggu di rumah seorang sahabat. Antara yang akrab dengan aku di sekolah dan asrama. ANJ namanya. Insyaallah Disember ini, dia akan menjadi tetamu di kediaman kami pula. Ummi yang menaja tiket penerbangannya pergi dan balik (Ummi aku sporting, kan? Dia kenal siapa 'bosom friend' anak-anak dia. Dan sudah tentu dia juga mahu soal-siasat dan lihat dengan mata kepala sendiri watak kawan-kawan karib anaknya. Saya kira macam itulah agaknya). Berbuka puasa dan sahur bersama keluarga orang lain sudah tentulah tidak sama secara total dengan iftar dan sahur dengan Ummi, Abie dan adik-adik di rumah. Tapi, ada aku kisah? THINK POSITIVE!! Bak kata Ummi aku cakap: itu adalah sebahagian kecil daripada cabaran tinggal di asrama. Aku akui kebenaran kata-kata Ummi aku itu. Dia dulu pun duduk SBP juga. Di tengah estet Labu. Lebih 20 tahun dahulu. Maknanya, dia dululah yang 'makan nasi kawah'. Jadi, saya sudah menyediakan mental. Berdasarkan kisah-kisah hidup di asrama. Told by my beloved mom!

Sebagaimana yang aku pernah tulis dahulu, adalah sukar untuk aku selalu muncul dengan 'karya-karya' baru. Almaklumkah budak asrama, kan? Tetapi sekerap mungkin, aku tetap mencuba. Hari ini aku mahu menyambung kisah budak SBP ini dengan kehidupan pada minggu pertama di asrama.

Sebenarnya, sebelum 3 Januari aku sudah pun berada di KL. Aku dan rakan-rakan seangkatan telah diberikan mini orientasi oleh pihak penaja. Seronok jugalah dibawa berjalan-jalan keliling kota. Bagi ambilan pertama, dari Bumi Kenyalang hanya aku dan seorang budak Miri, Zack sahaja yang akan bersekolah di sekolah yang sama. Budaknya agak pendiam. Sepatah ditanya, sepatah disahutnya. Asyik menangis sahaja. Rindukan emak, rindukan rumah. Pendek kata 'homesick' betullah dia tu. Dalam sebulan juga, setiap kali dia menelefon emaknya di Miri pasti akan diiringi oleh sedu-sedan. Syukurlah, aku lebih kuat semangat daripada dia. Lagipun, makcik aku rumahnya tak sampai sejam dari asrama. He he he!

Awal pagi 3 Januari, aku menaiki Vios ke Putrajaya. Bersama aku ialah 2 orang pegawai pengiring, Kak Sue dan Abang Mahathir. Seorang lagi sudah tentulah Zack yang agak kuat menangis tu. (Tapi sekarang dia dah tak menangis lagi dah ..!)  Apa lagi kalau bukan untuk mendaftar. Setiba di sana, Ummi dan Achik Anja sudah pun menunggu. Diaorang siap berkenalan dengan senior prefects dan warden yang bertugas. (Alahai, dua beradik itu memang peramah orangnya). Bahkan dah selesai menjamu selera dengan guru-guru di situ. Kami sampai sahaja, pintu kereta dibuka oleh Guru Penyelaras Pelajar Tajaan. Lagak kami macam anak-anak orang terhormatlah masa tu. Ha ha ha! Guru itu memperkenalkan namanya sebagai Cikgu Mohamad Nas. Sekejapan sahaja, urusan pendaftaran selesai. Kami kemudiannya ke asrama dengan kereta Vios yang sama.

Tema bilik aku hijau. Suka hati Ummi! Daripada cadar katil sampailah ke dinding. Semuanya hijau. Ada 12 katil kesemuanya. Pengawas yang menjadi 'jaga' di dorm kami, Abang Aiman. Pelajar Tingkatan 3. Dia amat baik orangnya. Dia banyak tolong akulah masa fasa permulaan kehidupan di asrama. Ummi dan Achik Anja macam biasalah, cepat sahaja mesra dengan Kak Sue, pegawai pengiring kami. Ibu bapa yang turut menghantar anak mereka di bilik yang sama juga cepat berkenalan dengan mereka berdua. Sambil Ummi menolong bantu apa yang perlu, sempat dia tanya-tanyakan khabar ahli kamar aku. Kesemuanya Tingkatan 1. Malahan satu blok tu, semua First Formers yang duduk.

Selesai mengemas ala kadar, kami bergegas ke Dewan Utama. Pengetua dan YDP PIBG memberikan ucapan. Guru-guru Kelas juga diperkenalkan. Ada sesi soal-jawab juga. Ummi salah seorang daripada audien yang bertanya. Pengetua yang juga pernah berkhidmat di Sarawak memberikan respons yang panjang lebar kepada soalan Ummi yang ringkas. Barangkali dia teringat kenangan  tenpat pertana dia bekerja - Sarikei. Yalah .. semasa Ummi aku kata dia datang dari jauh, Sarawak maka secara spontan Pengetua itu mencelah: 'terima kasih, Puan DG .. sudi datang,susah-payah hantar anak. Saya dulu pun pernah mengajar di Sarawak.' Oh ya! Semasa pendaftaran kelas, Ummi dah sempat dapatkan nombor telefon Ustazah Hidayah, guru kelas aku. Hmm! Memang cekap Ummi aku ni dalam bab perhubungan awam. Selesai taklimat, orientasi bermula. Tapi, sebelum aku bergerak ke asrama dan Ummi balik dengan Achik Anja, Ummi sempat jumpa Tuan Pengetua. Siap pesan kat Pengetua yang aku boleh dirotan jika perlu. Terutama kalau bab tentang solat. Pengetua itu tepuk-tepuk bahu aku. 'Nampak anaknya baik.' Itulah rumusan pertama dia. Saya lantas menyalaminya. Penuh sopan dan santun! Tak pasal-pasal aku sudah dikenali oleh Tok Ketua! (Tak pasti, cerita baik atau tidak. Tapi aku yakin, insya-Allah akan patuh kepada peraturan. Harap iman aku akan terus bertahan. Insya-Allah, berkat doa Ummi dan Abie)

Bila urusan di Dewan Utama sudah selesai, Ummi memberikan aku 'tazkirah' ringkas. Tazkirah akhirlah kiranya tu sebelum kami berjumpa lagi pada penghujung Januari (Ummi, Abie dan adik-adik akan turun ke KL sempena TBC). Ummi menghulurkan sebuah sampul. Sebaik aku menyalami dia dan mendakapnya, dia mengejapkan pelukan. Aku dapat rasakan kesedihannya ketika itu. Dalam masa yang sama aku juga dapat membaca riak gembiranya. Gembira kerana aku diberikan 'rezeki' belajar di sekolah yang ternama. Emosi aku pula ketika itu, bercampur-aduk. Sedih sikit, gembira pun ia. Tapi, satu yang pasti aku akan merindui 'ceramah' Ummi!


10 hal yang Ummi selalu ulang-ulang dalam  siri 'khutbah' dan 'tazkirah'nya:

1) Jaga solat 5 waktu. Tak guna jadi muslim, kalau solat banyak ekzos. Lubang di sana-sini.
2) Hati-hati pilih kawan. Kalau dah tahu orang tu smoking, pergi jauh-jauh. Nanti terpengaruh.
3) Baca Quran setiap hari. Walaupun hanya sekadar surah yang pendek. Qul huwallah, contohnya.
4) Kebersihan jaga. Baju basuh bersih-bersih. Penampilan biar kemas. Kalau serabut nanti otak pun serabut juga. Susah ilmu nak masuk nanti.
5) Bangun awal. Tandas ada sepuluh, yang nak guna berpuluh-puluh! Lambat. Nanti kelam-kelibut.
6) Breakfast mesti ambil. Perut lapar, susah nak fokus masa belajar.
7) Masa guru mengajar, fokus. Guru bercakap, murid bercakap. Nanti dinding dan siling pula yang jadi pandai.
8) Buku simpan tempat tinggi. Di tempat yang tak kena langkah. Nanti belajar tak berkat.
9) Buat semua kerja yang cikgu bagi.
10) Take care, my dear anak bujang!

Aku melambai Ummi yang berlalu bersama adiknya. Aku dan Zack berdiri di sudut kanan Dewan Utama masa itu. Menunggu Cikgu Mohd N. Hadiah Ummi kutinjau. Senaskhah Al-Quran terjemahan. Saiz sebesar separuh daripada buku tulis. Dimasukkan dalam sampul putih. Tertera namaku di situ. Bersama sebuah tulisan tangan: "Ummi tidak pernah lupa mendoakan kejayaan AIM. Kejayaan di dua dunia." Aku tidak sempat membelikan apa-apa pun untuk Ummi. Tapi yang pasti, Ummi sentiasa ada di hati anak bujangnya. Ummi yang tegas. Ummi yang pantang tengok benda tak kemas! Ummi yang selalu ada idea bernas. Dan kaya dengan pengertian.

Kami kemudiannya berjalan kaki ke asrama. Bersiap-siap untuk Zohor dan Taklimat Kelas. Di sini kami wajib berjemaah lima waktu di surau yang beberapa langkah sahaja dari blok kami. Aku dengan dua orang rakan sekamar meninjau-ninjau kawasan asrama. Di Tingkat bawah, blok sebelah ialah Bilik Pentadbiran. Di hadapan tempat meletak kereta ada Koperasi. Berjalan dalam tak sampai 100 langkah adalah Dewan Makan. Menu yang ditampal di dinding bersebelahan pintu masuk utama semacam tidak membangkitkan selera makanku yang sememangnya amat pemilih. Selektif sangat-sangat! Aku tak makan benda yang pedas. Aku tak masuk sangat benda-benda yang pelik-pelik. Maksud aku yang aku belum pernah cuba. Variasi sayuran yang aku makan pun sangat terhad. Tapi, untuk tengahari itu dek kerana lapar aku 'bismillah' juga sampai licin.

Satu MINGGU. Kehidupan asrama biasa-biasa saja. Alhamdulillah, kami semua selamat sepanjang sesi orientasi. Abang senior pun nampaknya alright saja. Kalau berselisih bagi salam. Angguk sikit kepala. Tanda hormat. Abang-abang Biro Agama selalu bagi tazkirah. Ada qiamullail dan tadarus Al-Quran. Riadah dan gotong-royong. Pengagihan rumah sukan dan aktiviti kokurikulum. Taklimat tentang penggunaan kemudahan yang ada di sekolah. Pavillion, padang permainan, Pusat Sumber Sekolah, Pusat Akses dan banyak lagi..




Minggu PERTAMA juga, aku diberi mandat memegang dua jawatan; Ketua Kelas dan Ketua Dorm. Alahai! Dalam pada aku baru nak sesuaikan diri dengan keadaan persekitaran, aku kena pula menyesuaikan diri dengan jawatan-jawatan ini. Jadi Ketua ni, memang sibuklah kan. Ke sana ke mari mengurus itu dan ini.Sekejap jadi ceti; kutip macam-macam bayaran. Ada masa jadi 'mat despatch'; hantar bukulah, boranglah .. macam-macamlah. Kawan-kawan pula ada yang begitu, ada yang begini. Ada yang sporting dan supporting, ada juga yang memang hobinya menyusahkan orang. Mula-mula rasa macam terbeban jugalah sikit tapi lama-lama tu kira macam OK jugalah. Cikgu-cikgu ramai yang hafal nama akulah, kiranya. Bila cikgu dah ingat nama tu, selalulah kena jawab soalan dalam kelas. Pendek kata, kena selalu bersiap-sedialah!

No comments:

Post a Comment